Minggu, 07 Oktober 2007

Surah Yusuf dan Novel Cinta Remaja

Apabila saudara menulis novel cinta untuk remaja perempuan braket usia 14 - 16 tahun, sedikit pengetahuan tentang psikologi remaja perempuan pada usia itu adalah berguna sekali:

(1) Pertama, mereka teramat idealistik.
Mereka percaya orang baik akan menerima segala yang baik-baik. Nasib akan menjaga mereka yang baik. Kebaikan akan tetap dibalas dengan kebaikan. Mereka juga percaya semua orang boleh berubah menjadi baik. Faktor ini menyebabkan remaja pada usia ini tidak suka cerita di mana watak yang baik berakhir dengan menerima nasib buruk.
Dalam surah Yusuf, Nabi Yusuf akhirnya menjadi wazir. Abang-abang Nabi Yusuf berubah menjadi insaf dan baik.

(2) Kedua, mereka percaya dunia ini hitam-putih.
Yang baik, baik semua. Yang jahat-jahat semua. Kalau pandai, pandai semua. Kalau bodoh, bodoh semua. Tidak mungkin ada orang yang baik dan jahat pada waktu yang sama. Tidak mungkin orang yang pandai sebenarnya bodoh. Jadi remaja pada usia ini tidak suka watak-watak yang memiliki sifat-sifat yang saling bertentangan.
Dalam surah Yusuf, heronya, Nabi Yusuf adalah manusia ideal yang baik serba serbi. Manakala Zulaikha dan abang-abangnya jahat belaka.

(3) Ketiga, mereka percaya Tuhan itu sangat baik.
Remaja perempuan pada usia itu mempunyai keyakinan Tuhan amat baik dan Tuhan akan mengampunkan semua orang.
Dalam surah Yusuf, semua watak jahat akhirnya diberi peluang menjadi orang-orang yang baik, di mana tidak seorang pun watak jahat yang kekal jahat. Begitu pula, tidak ada seorang pun dihukum atas kejahatan mereka.

(4) Keempat, mereka percaya dunia ini adil.
Remaja pada usia ini percaya yang baik akan dibalas baik, yang jahat akan dibalas jahat. Segala-galanya akan berakhir dengan kebaikan dan kegembiraan.
Dalam surah Yusuf, cerita berakhir dengan semua watak mendapat kebaikan dan kegembiraan. Happy ending.

(5) Kelima, mereka tidak suka memikirkan kematian.
Remaja pada usia ini percaya kematian adalah sesuatu yang masih jauh daripada diri mereka. Oleh itu mereka tidak suka cerita yang berakhir dengan kematian.
Dalam surah Yusuf, tidak ada watak yang dimatikan.
Lima ciri psikologi remaja perempuan yang seperti itu menunjukkan innocence mereka, kemurnian persepsi mereka tentang dunia dan kehidupan, bahawa otak, jiwa dan kalbu mereka masih putih bersih.
Justeru, dengan bersandarkan jalan cerita dalam surah Yusuf, pengarang novel cinta remaja tidak boleh mencederakan, menodai, mengotori dan merosakkan innocence pemikiran, jiwa dan kalbu gadis-gadis yang masih muda remaja dan suci bersih dengan menghidangkan cerita-cerita reality tentang kebusukan, keburukan, kemungkaran dan kebobrokan yang dicipta oleh dunia orang dewasa.
Tuhanlah yang lebih mengetahui.

Tidak ada komentar: